Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian Tahun 2018/2019

Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2018/2019 telah diadakan pada 25 Zulhijjah 1439 bersamaan 6 September 2018, bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 1439H/2018M yang juga telah berlangsung hari ini bertempat di Istana Nurul Iman.

Bagi sesi pengajian 2018/2019, seramai seorang penuntut menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah, manakala dua orang penuntut menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian. Penerima biasiswa pertama dianugerahkan kepada Awang Abdul Qayyum bin Haji Isa, yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir. Penganugerahan seterusnya diberikan kepada Dayang Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor, yang akan meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Architecture – Royal Institute of British Architects (RIBA) di Architectural Association School of Architecture, United Kingdom. Manakala penerima anugerah biasiswa yang terakhir ialah Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman, yang akan meninggikan tahap pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang “Chemistry Research” di Imperial College London, United Kingdom.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Haji Mohd Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Pintu Malim. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara Majlis dilanjutkan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi ketiga-tiga penerima tersebut. Para penerima biasiswa akan menandatangani perjanjian tersebut bersama dengan dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diikuti dengan penyampaian insentif daripada Yayasan Sultan Haji hassanal Bolkiah kepada dua orang penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama. Mereka ialah Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman – Kepujian Kelas Pertama First Class (Hons) MChem in Chemistry di University of Oxford, United Kingdom dan Dayang Rasyiqah Azimah binti Muhammad Nuraiziz – Kepujian Kelas Pertama First Class (Hons) BSc Natural Sciences di University College London, United Kingdom. Penyampaian insentif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis di sebelah petang diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada akhir bulan September ini.

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.