Jerayawara Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Sultan's Scholar > Blog > Jerayawara Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Pada hari Rabu, 12 Zulkaedah 1439H bersamaan 25 Julai 2018M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Jerayawara Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” bagi pelajar-pelajar Maktab, Sekolah Menengah dan Pusat-Pusat Tingkatan Enam di seluruh negara yang akan menduduki peperiksaan peringkat ‘A’ level iaitu PRA U1 dan PRA U2 dan juga pelajar-pelajar yang mengambil Program Diploma International Baccalaureate (IB).

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan dan diikuti dengan taklimat dan sesi perkongsian ‘sharing session‘ daripada sebahagian penerima-penerima Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” yang sudah menamatkan pengajian dan juga yang sedang dalam pengajian.

Tujuan jerayawara adalah untuk memberikan pendedahan mengenai Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” dan perkara-perkara yang berkaitan seperti penerangan mengenai syarat-syarat kelayakan atau kriteria-kriteria bagi mengikuti Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar”; proses pemilihan pelajar yang berpotensi untuk mengikuti Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar”; dan langkah-langkah untuk memperoleh kemasukan ke universiti ternama di luar negara.

Jerayawara ini juga dihasratkan bagi memberikan dorongan serta menyuntik semangat kepada para pelajar untuk meraih kecemerlangan yang membolehkan mereka melanjutkan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi ke universiti ternama melalui biasiswa yang berprestij iaitu Biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Turut hadir ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien iaitu Pengiran Nur’azeezah binti Pengiran Anak Haji Mohammad Al-Mokhtar yang menuntut di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini adalah merupakan salah satu inisiatif Yayasan dalam mengendalikan program pembangunan kapasiti tenaga manusia bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan serta berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan negara selaras dengan Wawasan Negara 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi kearah kehidupan rakyat berkualiti tinggi.