Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian Tahun 2017/2018

Pada 26 Zulhijjah 1438 bersamaan 18 September 2017, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2017/2018 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 1438H/2017M yang juga telah berlangsung dan bertempat di Istana Nurul Iman.

Bagi sesi pengajian 2017/2018, seramai tiga (3) orang penuntut menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah, manakala seorang penuntut menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian. Penuntut pertama ialah Awang Muhammad ‘Azim Bin Abdul Hadi, yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Seterusnya ialah Dayang Amal Aqilah Fathiah binti Haji Abdullah, yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘Veterinary Medicine’ di University of Cambridge, United Kingdom. Manakala penuntut penerima biasaswa yang terakhir ialah Awang Teo Zhi Perng, yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘Materials Science and Engineering’ di Imperial College London, United Kingdom. Terdapat seorang penuntut yang meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana, iaitu Dayang Nurul Syadirah binti Awang, dalam bidang “International Public Policy” di University College London, United Kingdom.

Hadir selaku tetamu kehormat dimajlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awangku Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain. Aturcara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara Majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi keempat-empat penerima tersebut. Para penerima biasiswa akan menandatangani perjanjian tersebut bersama dengan dua orang penjamin yang terdiri dari ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.  Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Pengarah Urusan Yayasan bersama dengan Yang Mulia Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada akhir bulan September ini.  

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (Working Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.