Program Perkembangan “Sultan’s Scholar” 2017

Sultan's Scholar > Blog > Program Perkembangan “Sultan’s Scholar” 2017

Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan salah satu inisiatif Yayasan dalam mengendalikan program pembangunan kapasiti tenaga manusia bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan yang seterusnya akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan negara selaras dengan Wawasan Negara 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi kearah kehidupan rakyat berkualiti tinggi.

Biasiswa “Sultan’s Scholar” adalah merupakan biasiswa yang berprestij serta penganugerahannya diberikan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenalpasti oleh Yayasan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya. Penuntut-penuntut yang berjaya dianugerahkan biasiswa, mereka dibenarkan untuk memilih institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang mereka hendaki serta dibenarkan oleh Yayasan dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang bertujuan untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.

Program Perkembangan “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tahun 2017 akan dikendalikan dalam 3 modul. Modul pertama ialah “Singapore Leg”, yang mana program ini berlangsung selama 5 hari iaitu dari 3 Julai 2017 hingga 7 Julai 2017 di CSC International, Civil Service College Singapore. Seterusnya, modul kedua ialah “Leadership and Team Building Programme (Brunei Leg)” yang juga berlangsung selama 5 hari bermula dari 9 Julai 2017 hingga 13 Julai 2017 di Trandie Marina Resorts, Batang Duri Temburong. Terakhir sekali, modul yang ketiga iaitu Lawatan Ke Kementerian-kementerian di dalam Negeri yang diadakan selama 3 hari iaitu bermula dari 1 Ogos 2017 hingga 3 Ogos 2017.

Pada 3 Julai 2017, seramai 12 orang pelajar “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berserta seorang Pegawai Yayasan telah bertolak ke Singapura bagi menyertai Program “Singapore Leg” selama 4 hari bermula 4 Julai 2017 hingga 7 Julai 2017. Program ini adalah merupakan hasil kerjasama bersama pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, international Civil Service College (Singapura) berserta pihak kedutaan dari kedua-dua buah Negara.

Antara pengisian-pengisian yang telah dirancang bagi Program “Singapore Leg” ini ialah untuk memberikan pendedahan mengenai perkembangan ekonomi Singapura, pengenalan tentang asas-asas penubuhan kemajuan serta perancangan bandar dan desa. Terakhir sekali ialah mengenai bagaimana penggunaan-penggunaan teknologi dapat membantu dalam membaik-pulih dan memajukan sistem perkhidmatan.

Di hujung Program Perkembangan ini nanti, para peserta dikehendaki untuk merefleksi terhadap pengalaman yang mereka lalui dan merancang program “community-based-activity” iaitu merupakan kegiatan yang berasaskan komuniti sebagai projek khusus pasca Program Perkembangan “Sultan’s Scholar”.