Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1439H / 2018M

Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Sesi Pengajian 2018/2019 telah diadakan pada 25 Zulhijjah 1439H bersamaan 6 September 2018M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Chairman of the Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Committee of Governors); dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Pada tahun ini, hanya seorang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2018/2019 iaitu Awang Abdul Qayyum bin Haji Isa, beliau merupakan lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah yang akan meneruskan pengajiannya dalam jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Manakala terdapat dua orang penuntut yang menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian mereka iaitu Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman, beliau merupakan graduan Sarjana Muda yang lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama First Class (Hons) MChem in Chemistry di University of Oxford, United Kingdom. Beliau akan melanjutkan pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang “Chemistry Research” di Imperial College London, United Kingdom.

Seterusnya, Dayang Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor, beliau merupakan graduan Sarjana Muda yang lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Kedua Atas B.A (Hons) Second Class Upper in Architecture di University of Cambridge, United Kingdom. Beliau akan melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana dalam bidang Architecture – Royal Institute of British Architects (RIBA) di Architectural Association School of Architecture, United Kingdom.

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berkenan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” dan para ibu-bapa mereka serta para jemputan.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Turut hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Setiausaha-Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengetua-Pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.