Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa”Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian Tahun 2020/2021

Pada hari Isnin, 12 Muharram 1442 bersamaan 31 Ogos 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2020/2021 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2020 / 2021 yang juga berlangsung pada hari yang sama bertempat di Istana Nurul Iman.

Seramai tiga orang penuntut yang telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2020 / 2021 iaitu Awangku Muhammad Asyraff Haziq Iman bin Pengiran Asmali yang akan meneruskan pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan Eletronik (MEng Electronic and Electrical Engineering) di University College London, United Kingdom. Seterusnya, Dayang Siti Aisyah binti Salim, yang akan meneruskan pengajiannya dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Ma’had Qiraat, Al-Azhar, Shoubra, Mesir. Manakala penerima biasiswa yang terakhir iaitu Dayang A’isyah binti Muhamad Yusop, beliau akan meneruskan pengajiannya dalam jurusan Syariah Wa Qanun di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Turut hadir seorang penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah pada sesi pengajian 2016 / 2017 iaitu Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah untuk menandatangani perjanjian bagi meninggikan lagi tahap pengajiannya ke peringkat Sarjana dalam kursus Msc Clinical Embroylogy di Green Templeton College, University of Oxford, United Kingdom.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi keempat orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Haji Puasa bin Haji Jumat, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis di sebelah petang diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.