Latar Belakang Biasiswa

Pengenalan

Selaras dengan salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah khususnya dalam bidang pendidikan, sebuah biasiswa khas telah ditubuhkan, yang dikenali sebagai “Sultan’s Scholar”. Biasiswa tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mula memperkenankan penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” pada tahun 2006, bagi sesi pengajian 2006/2007. Sesuai dengan nama di beri, Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” adalah biasiswa yang berprestij. Maka penerimanya terdiri daripada penuntut-penuntut yang dikenal pasti oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah (co-curricular activities). Sejak tahun 2006, seramai empat-puluh lapan (48) orang penuntut telah menerima anugerah Biasiswa “Sultan’s Scholar”. 

Bermula tahun 2013, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah memperluaskan Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” untuk skim meninggi tahap pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Sehingga tahun 2020, seramai lima (5) orang menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan lima (5) orang lagi menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana. 

Tujuan Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar”

  • Memberi peransang serta dorongan kepada penuntut yang memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan di Peringkat Lanjutan atau yang sebanding dengannya.
  • Mengetengahkan penuntut-penuntut yang berpotensi bagi mengikuti kursus-kursus yang diutamakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dari semasa ke semasa.
  • Memberi penghargaan ke atas kejayaan penuntut-penuntut tersebut dan juga akan dapat meningkatkan motivasi penuntut tersebut untuk terus berusaha dan belajar.
  • Meningkatkan lagi bilangan tenaga manusia di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terlatih dan profesional bagi keperluan Negara Brunei Darussalam.